Tuesday, January 26, 2010

Kesan Ibadat Haji

Kesan Ibadat Haji
Khutbah Jumaat - 19 Januari 2007
Sumber: Jabatan Ugama Islam Selangor


Sidang Jumaat yang dihormati Allah s.w.t,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah s.w.t, lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh kemuliaan dan berkat ini, mudah-mudahan kita akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti ibadat dengan rasa penuh khusyuk dan tawaduk, sebagai bukti kesyukuran kita diatas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, disamping berazam dan berusaha untuk menziarahi Baitullah Al-Haram dimasa-masa yang akan datang.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari ini adalah hari terakhir kita berada dibulan Zulhijjah. Bulan yang padanya disyariatkan untuk melaksanakan ibadat haji pada setiap tahun. Ianya juga terlalu banyak sejarah, peristiwa, teladan serta pengajaran yang berlaku dalam sejarah perkembangan islam, yang boleh diambil manafaat dan ikhtibar daripadanya, malah ianya lebih daripada itu, seperti tuntutan untuk mengerjakan ibadat haji bagi mereka yang berkemampuan, tetapi masih lagi berlengah-lengah untuk mengerjakannya. Rasullah s.a.w pernah bersabda :

"Barangsiapa yang memiliki bekalan dan kemudahan yang boleh menyampaikan ia kepada Baitullah Al-Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya, maka tidak ada kematian baginya melainkan sebagai Yahudi atau Nasrani".
(Riwayat At-Tarmizi)

Hadis ini menegaskan kepada kita, betapa pentingnya tuntutan melaksanakan ibadat haji bagi seseorang yang berkemampuan dan mempunyai kesihatan yang baik. Namun sikap terlalu berlengah-lengah dan enggan melaksanakannya lantaran terlalu mementingkan harta dan kehidupan duniawi, dibimbangi kematiannya oleh Rasulullah s.a.w. sebagai kematian orang-orang Yahudi atau pun Nasrani.

Oleh itu, janganlah dipandang remeh untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini, kerana ianya memerlukan pengorbanan yang tinggi bagi setiap individu muslim dengan mengorbankan sebahagian harta dan sepenuh tenaganya untuk menjadi tetamu Allah s.w.t.

Adakah pasti kita masih berpeluang untuk mengerjakan ibadat yang sangat istimewa ini jika tidak melaksanakannya pada tahun ini?. Kalau sekadar azam dan cita-cita sahaja belum tentu kita dapat menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini. Sepatutnya ia hendaklah direalisasikan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tekad yang kuat di dalam sanubari kita agar berpeluang merasai kenikmatan berkunjung ke Baitullah pada tahun-tahun yang akan datang, Insya-Allah.


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi saudara-saudara kita yang telah berpeluang mengerjakan ibadat haji pada tahun ini, sama-samalah kita berdoa agar mereka dapat melaksanakannya dengan cemerlang dan dikurniakan haji yang Mabrur, disamping menjadi tetamu Allah s.w.t.

Sebenarnya ibadat haji membawa pengajaran yang ternilai kepada kita. Jika dilihat dari sudut mata hati, bagaimana ianya merupakan percubaan atau satu proses bagi manusia yang masih hidup mengingati kematian sebelum kita menghadapinya, apabila dicabut roh daripada jasad oleh malaikat maut:

Ibadat haji yang dikerjakan dengan hati yang tulus ikhlas kerana mengharapkan keredhaan Ilahi, sebenarnya adalah merupakan satu jihad yang dilihat bukan sahaja pengorbanan oleh seseorang insan dari aspek meterial melalui wang ringgit dan harta semata-mata, tetapi juga dari aspek spiritual. Hanya mereka yang mempunyai jiwa yang kuat, sanggup dan mampu untuk mengorbankan secara sementara segala kesenangan dan kenikmatan dunia dengan meninggalkan ahli keluarga yang dikasihi dan harta yang diusahakan untuk pergi ke rumah Allah dengan penuh rasa rendah diri dan kecintaan yang mendalam terhadap tuhan yang maha esa.

Saidatina Aishah r.a telah bertanya kepada rasulullah dengan berkata:

"Wahai rasulullah s.a.w. menurut kamu jihad itu adalah amal yang paling utama. Jika begitu, tidakkah kami akan berjihad? Baginda bersabda: bagi kamu semua ada jihad yang lebih utama iaitu haji yang Mabrur".
(Riwayat Al-Bahari)

Begitu juga pakaian ihram yang diwajibkan pemakaiannya kepada jemaah haji, boleh digambarkan sebagai kain kapan yang membaluti jenazah orang yang telah pergi menyahut seruan ilahi. Kain yang bewarna putih ini sebenarnya membentuk dan menyampai semangat persamaan dan setaraf ke dalam jiwa setiap individu mukmin. Mereka memakai ihram dalam tempoh masa yang sama dan pada tempat yang sama. Dengan itu akan limpah segala jurang perbezaan antara orang yang miskin, yang datang dari seluruh pelusuk dunia dengan warna kulit, bahasa dan budaya yang berbeza. Kesemua mereka adalah sama tarafnya sebagai hamba disisi Allah s.w.t. melainkan mereka yang benar-benar beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Perhimpunan umat Islam yang begitu ramai di padang arafat dalam satu masa. Ini menggambarkan kepada kita bagaimana berkumpulnya semua umat Islam di padang mahsyar pada hari akhirat kelak. Ketika itu, segala amalan di dunia akan dihitung dan dihasab dengan begitu adil oleh mahkamah ilahi. Namun demikian berkumpulnya umat Islam di padang Arafah pada musim haji merupakan gambaran kecil sahaja terhadap peristiwa di padang mahsyar kelak.

Apabila tiba waktu melontar jumrah, lontaran tersebut membawa pengertian yang amat besar dalam sanubari mereka. Ianya menunjukkan bagaimana jemaah haji yang melontar jumrah itu menyatakan melalui hati tentang perasaan benci mereka kepada perkara munkar yang datangnya dari hasutan iblis dan syaitan yang mempengaruhi jiwa manusia. Itulah bukti keazaman dan para jemaah untuk memperbaiki dan membersihkan diri daripada sebarang perlakuan maksiat dan disematkan ke dalam jiwa yang suci lagi bersih di hadapan Tuhannya Rabbul Jalil.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.,

Untuk itu, jelas kepada kita bahawa ibadat haji merupakan satu perhimpunan atau perjumpaan agung bagi umat Islam seluruh dunia. Selain dapat berkenal-kenalan, mewujudkan perpaduan, mengeratkan persaudaraan, ia juga mempunyai hikmah atau kesan yang mendalam kepada mereka yang mengambil ikhtibar dan pengajaran. Bagi mereka yang belum berpeluang, janganlah ditangguhkan lagi. Peluang mengerjakan ibadat haji hanya dalam tempoh waktu yang tertentu sahaja, kita tidak pasti, adakah kita masih mempunyai peluang tersebut pada masa dan tahun yang akan datang.

Bersegeralah untuk menjadi tetamu Allah dengan lafaz Talbiah yang sentiasa menggamit perasaan. Apabila balik ke tanahair dapat mengekalkan amalan dan ibadat yang dilakukan semasa ditanah suci, dengan membawa perubahan baru kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara kepada yang lebih baik dari sebelumnya. Moga-moga dengan itu menjadi bukti bahawa amalan kita diterima oleh Allah s.w.t., disamping beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan, fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Sumber: Laman web Jabatan Ugama Islam Selangor
http://www.jais.gov.my/

No comments: