Tuesday, January 26, 2010

Kesan Ibadat Haji

Kesan Ibadat Haji
Khutbah Jumaat - 19 Januari 2007
Sumber: Jabatan Ugama Islam Selangor


Sidang Jumaat yang dihormati Allah s.w.t,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah s.w.t, lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh kemuliaan dan berkat ini, mudah-mudahan kita akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti ibadat dengan rasa penuh khusyuk dan tawaduk, sebagai bukti kesyukuran kita diatas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, disamping berazam dan berusaha untuk menziarahi Baitullah Al-Haram dimasa-masa yang akan datang.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari ini adalah hari terakhir kita berada dibulan Zulhijjah. Bulan yang padanya disyariatkan untuk melaksanakan ibadat haji pada setiap tahun. Ianya juga terlalu banyak sejarah, peristiwa, teladan serta pengajaran yang berlaku dalam sejarah perkembangan islam, yang boleh diambil manafaat dan ikhtibar daripadanya, malah ianya lebih daripada itu, seperti tuntutan untuk mengerjakan ibadat haji bagi mereka yang berkemampuan, tetapi masih lagi berlengah-lengah untuk mengerjakannya. Rasullah s.a.w pernah bersabda :

"Barangsiapa yang memiliki bekalan dan kemudahan yang boleh menyampaikan ia kepada Baitullah Al-Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya, maka tidak ada kematian baginya melainkan sebagai Yahudi atau Nasrani".
(Riwayat At-Tarmizi)

Hadis ini menegaskan kepada kita, betapa pentingnya tuntutan melaksanakan ibadat haji bagi seseorang yang berkemampuan dan mempunyai kesihatan yang baik. Namun sikap terlalu berlengah-lengah dan enggan melaksanakannya lantaran terlalu mementingkan harta dan kehidupan duniawi, dibimbangi kematiannya oleh Rasulullah s.a.w. sebagai kematian orang-orang Yahudi atau pun Nasrani.

Oleh itu, janganlah dipandang remeh untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini, kerana ianya memerlukan pengorbanan yang tinggi bagi setiap individu muslim dengan mengorbankan sebahagian harta dan sepenuh tenaganya untuk menjadi tetamu Allah s.w.t.

Adakah pasti kita masih berpeluang untuk mengerjakan ibadat yang sangat istimewa ini jika tidak melaksanakannya pada tahun ini?. Kalau sekadar azam dan cita-cita sahaja belum tentu kita dapat menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini. Sepatutnya ia hendaklah direalisasikan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tekad yang kuat di dalam sanubari kita agar berpeluang merasai kenikmatan berkunjung ke Baitullah pada tahun-tahun yang akan datang, Insya-Allah.


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi saudara-saudara kita yang telah berpeluang mengerjakan ibadat haji pada tahun ini, sama-samalah kita berdoa agar mereka dapat melaksanakannya dengan cemerlang dan dikurniakan haji yang Mabrur, disamping menjadi tetamu Allah s.w.t.

Sebenarnya ibadat haji membawa pengajaran yang ternilai kepada kita. Jika dilihat dari sudut mata hati, bagaimana ianya merupakan percubaan atau satu proses bagi manusia yang masih hidup mengingati kematian sebelum kita menghadapinya, apabila dicabut roh daripada jasad oleh malaikat maut:

Ibadat haji yang dikerjakan dengan hati yang tulus ikhlas kerana mengharapkan keredhaan Ilahi, sebenarnya adalah merupakan satu jihad yang dilihat bukan sahaja pengorbanan oleh seseorang insan dari aspek meterial melalui wang ringgit dan harta semata-mata, tetapi juga dari aspek spiritual. Hanya mereka yang mempunyai jiwa yang kuat, sanggup dan mampu untuk mengorbankan secara sementara segala kesenangan dan kenikmatan dunia dengan meninggalkan ahli keluarga yang dikasihi dan harta yang diusahakan untuk pergi ke rumah Allah dengan penuh rasa rendah diri dan kecintaan yang mendalam terhadap tuhan yang maha esa.

Saidatina Aishah r.a telah bertanya kepada rasulullah dengan berkata:

"Wahai rasulullah s.a.w. menurut kamu jihad itu adalah amal yang paling utama. Jika begitu, tidakkah kami akan berjihad? Baginda bersabda: bagi kamu semua ada jihad yang lebih utama iaitu haji yang Mabrur".
(Riwayat Al-Bahari)

Begitu juga pakaian ihram yang diwajibkan pemakaiannya kepada jemaah haji, boleh digambarkan sebagai kain kapan yang membaluti jenazah orang yang telah pergi menyahut seruan ilahi. Kain yang bewarna putih ini sebenarnya membentuk dan menyampai semangat persamaan dan setaraf ke dalam jiwa setiap individu mukmin. Mereka memakai ihram dalam tempoh masa yang sama dan pada tempat yang sama. Dengan itu akan limpah segala jurang perbezaan antara orang yang miskin, yang datang dari seluruh pelusuk dunia dengan warna kulit, bahasa dan budaya yang berbeza. Kesemua mereka adalah sama tarafnya sebagai hamba disisi Allah s.w.t. melainkan mereka yang benar-benar beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Perhimpunan umat Islam yang begitu ramai di padang arafat dalam satu masa. Ini menggambarkan kepada kita bagaimana berkumpulnya semua umat Islam di padang mahsyar pada hari akhirat kelak. Ketika itu, segala amalan di dunia akan dihitung dan dihasab dengan begitu adil oleh mahkamah ilahi. Namun demikian berkumpulnya umat Islam di padang Arafah pada musim haji merupakan gambaran kecil sahaja terhadap peristiwa di padang mahsyar kelak.

Apabila tiba waktu melontar jumrah, lontaran tersebut membawa pengertian yang amat besar dalam sanubari mereka. Ianya menunjukkan bagaimana jemaah haji yang melontar jumrah itu menyatakan melalui hati tentang perasaan benci mereka kepada perkara munkar yang datangnya dari hasutan iblis dan syaitan yang mempengaruhi jiwa manusia. Itulah bukti keazaman dan para jemaah untuk memperbaiki dan membersihkan diri daripada sebarang perlakuan maksiat dan disematkan ke dalam jiwa yang suci lagi bersih di hadapan Tuhannya Rabbul Jalil.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.,

Untuk itu, jelas kepada kita bahawa ibadat haji merupakan satu perhimpunan atau perjumpaan agung bagi umat Islam seluruh dunia. Selain dapat berkenal-kenalan, mewujudkan perpaduan, mengeratkan persaudaraan, ia juga mempunyai hikmah atau kesan yang mendalam kepada mereka yang mengambil ikhtibar dan pengajaran. Bagi mereka yang belum berpeluang, janganlah ditangguhkan lagi. Peluang mengerjakan ibadat haji hanya dalam tempoh waktu yang tertentu sahaja, kita tidak pasti, adakah kita masih mempunyai peluang tersebut pada masa dan tahun yang akan datang.

Bersegeralah untuk menjadi tetamu Allah dengan lafaz Talbiah yang sentiasa menggamit perasaan. Apabila balik ke tanahair dapat mengekalkan amalan dan ibadat yang dilakukan semasa ditanah suci, dengan membawa perubahan baru kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara kepada yang lebih baik dari sebelumnya. Moga-moga dengan itu menjadi bukti bahawa amalan kita diterima oleh Allah s.w.t., disamping beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan, fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Sumber: Laman web Jabatan Ugama Islam Selangor
http://www.jais.gov.my/

Haji Mabrur

Haji Mabrur
Khutbah Jumaat - 12 Disember 2008
Sumber: Jabatan Ugama Islam Selangor (JAIS)


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah s.w.t, lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh kemuliaan dan berkat ini, mudah-mudahan kita akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti ibadat dengan rasa penuh khusyuk dan tawadhuk, sebagai bukti kesyukuran kita diatas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, disamping berazam dan berusaha untuk menziarahi Baitullah al-haram di masa masa yang akan datang.

Ibadat haji banyak mengajar manusia menjauhi segala bentuk sandaran dan harapan kecuali kepada Allah, bersandarkan kepada Allah, kerana semua itu adalah kurnia Allah. Demikianlah adab utama untuk menjadi tetamu Allah. Setiap orang mestilah menyucikan hati dari pergantungan hidupnya selain Allah, kerana mereka sudah berada dihadapan Allah.

Sesiapa yang sudah berada dihadapan kaabah, mereka sudah menjadi tetamu Allah, mereka dijemput Allah supaya dapat mengambil segala hikmah dan pengajaran dari apa yang telah mereka saksikan sepanjang mereka beribadat ditanah suci, kemudian mereka akan kembali dengan haji yang mabrur. Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27-28:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari pelbagai jalan (dan corak rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah ke[ada mereka....."


Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap pengunjung rumah Allah, wajib berukuf dipadang Arafah, iaitu tempat nabi Adam a.s dan hawa dipertemukan Allah. Mereka memohon keampunan dan bertaubat setelah diturunkan ke dunia, kerana memakan buah larangan Allah. Adam a.s diperintah Allah menjadi khalifah mentadbir bumi.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

"Dan (ingatlah, wahai Muhammad) ketika Tuhan mu berfirman kepada para malaikat:"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi".

Ayat tersebut merupakan peristiharan Allah kepada malaikat, tentang pentingnya perlantikan seorang khalifah memikul amanah, untuk mentadbir bumi dengan syariat yang diwajibkan kepada manusia. Malangnya peristiharan itu dibantah keras oleh iblis.

Firman allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 34:

"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan iblis; ia enggan dan takbur, serta ia menjadi sebahagian daripada golongan yang kafir".

Semenjak daripada peristiwa keingkaran iblis, maka para malaikat pun melakukan tawaf di Baitul Dhurrah di Baitul Makmur, sebagai bantahan kepada sikap iblis yang enggan dan sombong. Lantaran itu mereka diperintah untuk membina rumah-rumah Allah di setiap lapisan atau tingkat langit.

Adam a.s pula diperintah oleh Allah supaya membina rumah Allah di bumi ini iaitu Baitullah. Adam a.s melakukan tawaf sebagaimana malaikat bertawaf di Baitul Dhurrah. Inilah hikmah umat Islam diperintah untuk bertawaf seperti tawafnya malaikat dan Adam a.s.

Tawaf adalah lambang penyesalan dan taubat nabi adam terhadap Allah, lalu taubatnya nabi Adam terhadap Allah, lalu taubatnya diterima Allah. Oleh itu, tawaf dan ihram adalah lambang pengabadian diri, taat setia dan patuh terhadap perintah Allah, tidak seperti enggan dan sumbangan sikap iblis yang suka membantah.

Tawaf memberi pengajaran bahawa apa pun bentuk kehidupan yang dilalui, seperti kehidupan berkeluarga mestilah terikat dengan syariat allah, kehidupan bermasyarakat mestilah berlandaskan syariat Allah. Aktiviti ekonomi, urusniaga jualbeli, mencari rezeki mestilah selaras dengan syariat Allah, kehidupan siasah, bernegara, berorganisasi, mestilah tunduk kepada syariat Allah. Inilah tuntutan daripada pengajaran tawaf untuk haji yang mabrur.


Hadirin sidang jumaat yang dirahmati allah,

Umat Islam wajib meletakkan syaitan sebagai musuh utama, kerana syaitan adalah musuh Allah. Kita diperintah melontar syaitan itu di jamrah seperti nabi Allah Ibrahim a.s melontarnya ditiga-tiga jamrah. Dengan haji yang mabrur, umat Islam mampu membawa perubahan dan pembangunan, kerana haji yang mabrur memberi semangat jihad yang kental. Haji mabrur itu bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada masyarakat, keluarga dan seterusnya menjadi warga yang baik, soleh, bertakwa dan mendapat pengampunan allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Dosa yang berlaku diantara dua imarah adalah telah dihapuskan, dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga".


Sidang jumaat yang dimuliakan Allah,

Manusia akan selamat jika akalnya digunakan dengan sempurna dan merujukkan semua keputusan dan tindakannya kepada syariat Allah. Sebaliknya, manusia akan binasa jika nafsu menguasai dirinya, tamak kepada harta, pangkat, wang ringgit dan ingin disanjung oleh manusia, maka biar pun dia berada dihadapan kaabah, hajinya hanyalah haji yang mardud (haji yang ditolak).

Sohibuzzubad telah berkata:

"Sesiapa yang membuat apa sahaja amalan atau perbuatan tanpa ilmu pengetahuan yang betul, maka segala amalannya tidak diterima".

Haji mardud, bererti ibadat hajinya tidak memberi perubahan yang baik dirinya, tidak membawa apa-apa perubahan pada keluarga dan masyarakatnya. Ini bererti, tidak ada pengajaran dapat diambil dari lontarannya di jamrah. Sekiranya sifat-sifat buruk, syirik dan keji itu masih ada dalam dirinya, maka itu adalah menggambarkan bahawa hajinya dalah haji yang mardud.

Hadirin jumaat yang dimuliakan Allah,

Sebagai tetamu Allah yang menyaksikan kesan sejarah para anbiak, sejarah nabi adam a.s dengan kaabah dan arafah, sejarah nabi Ibrahim a.s, sejarah nabi Ismail a.s di Mina dan Siti Hajar di Shofa dan Marwah, sejarah nabi Muhammad s.a.w di Mekah dan Madinah adalah sebagai sebuah bingkisan yang lebih berharga dari tamar, air zam-zam, tasbih yang menjadi bingkisan hadiah dari setiap orang haji yang kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur. Begitulah sempurnanya sunnah Allah, menjadi syariat yang diperjuangkan oleh semua para anbiak untuk dibawa peluang sebagai bingkisan bagi mereka yang mendapat haji yang mabrur.

"Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk dialam ini".
(Ali-Imran ayat 97)

Ya Allah, Engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkabajikan. Justeru kami pohon kehadratmu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


Sumber: http://www.jais.gov.my/